Projek Tangki Air Aras Tinggi Samarindah Manfaatkan Lebih 20,000 Penduduk
KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) Samarindah berupaya memanfaatkan lebih 20,000 orang penduduk sekaligus memastikan rakyat menikmati bekalan air yang lebih stabil, berkualiti dan konsisten.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, pertumbuhan pesat kawasan Samarindah khususnya pertambahan kawasan perumahan baharu telah meningkatkan permintaan terhadap bekalan air, sekali gus menyebabkan isu tekanan air rendah di beberapa kawasan terutamanya pada waktu puncak penggunaan.
“Dengan pertumbuhan populasi yang meningkat dari tahun ke tahun, anggaran kasar penduduk kini telah mencecah lebih 20,000 orang.
"Oleh itu, keperluan air bersih merupakan satu keperluan asas yang amat kritikal. Sebelum ini, masalah kekurangan tekanan air sering menjadi bebanan kepada urusan harian penduduk, termasuk operasi di Klinik Kesihatan Samarindah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pecah tanah projek tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, di sini pada Selasa.
Difahamkan, projek ini melibatkan pembinaan dua buah Tangki Aras Tinggi, masing-masing berkapasiti 4.5 juta liter dan pemasangan paip sepanjang 4.5 kilometer dengan kos keseluruhan sekitar RM30.4 juta. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2027.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan projek tersebut, beliau menggesa pihak kontraktor yang dilantik agar komited menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap Kementerian Utliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Razak. -EDISI UKAS