Projek Tangki Aras Tinggi Samarindah Perkukuh Bekalan Air Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi (TAT) Samarindah bernilai RM30.4 juta bakal memperkukuh sistem bekalan air di Kota Samarahan serta kawasan sekitarnya yang sedang pesat membangun.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur bekalan air sentiasa mendahului keperluan semasa dan masa hadapan, khususnya di kawasan yang sedang berkembang pesat.
Menurut beliau, Kota Samarahan kini muncul sebagai antara pusat pertumbuhan utama di Sarawak dengan pembangunan pesat melibatkan kawasan perumahan, institusi pengajian tinggi, hospital, pusat pentadbiran kerajaan, kawasan komersial dan industri yang semakin berkembang.
“Pertumbuhan ini secara langsung meningkatkan permintaan terhadap bekalan air yang berkualiti dan berterusan. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan sistem bekalan air sentiasa bersedia untuk menampung pertumbuhan penduduk dan pembangunan ekonomi yang semakin pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi Samarindah, di sini pada Selasa.
Dato Sri Julaihi memaklumkan sehingga kini sebanyak 99 projek bekalan air telah dirancang dan dilaksanakan di Bahagian Samarahan melibatkan pelaburan melebihi RM852 juta.
Daripada jumlah tersebut, 68 projek telah siap dilaksanakan, manakala lapan projek sedang berada dalam peringkat pelaksanaan, selain 21 projek baharu yang kini dalam peringkat perancangan.
Menurutnya, projek Tangki Aras Tinggi Samarindah bukan sahaja berfungsi meningkatkan kapasiti simpanan air terawat, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem agihan bekalan air agar lebih stabil, cekap dan berdaya tahan.
“Apabila siap kelak, projek ini akan meningkatkan tekanan bekalan air, memperkukuh kebolehpercayaan sistem agihan serta memastikan bekalan air dapat disalurkan secara lebih konsisten kepada pengguna khususnya di Samarindah dan kawasan pembangunan baharu di sekitarnya,” jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kerajaan kini giat melaksanakan Sarawak Water Grid dan Sarawak Water Supply Master Plan 2050 bagi memastikan keterjaminan bekalan air jangka panjang di seluruh negeri.
Katanya, permintaan air di Sarawak ketika ini mencecah sekitar 2,300 juta liter sehari dan dijangka meningkat kepada 3,500 juta liter sehari menjelang 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sarawak turut meluluskan peruntukan RM1.1 bilion bagi menggantikan dan menaik taraf 2,740 kilometer paip air lama secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula 2024.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Maselni Jamal, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak. -EDISI UKAS