Malam Amal Legends Rancakkan Pelancongan Miri, Hargai Jasa Ikon Muzik Negara
MIRI: Penganjuran Malam Amal Legends Charity Dinner pada Sabtu depan bukan sahaja menjadi platform menghargai jasa legenda muzik tanah air, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan serta memperkukuh industri seni persembahan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 11 malam itu akan menampilkan barisan artis legenda tanah air seperti Dato' Zainal Abidin, Dato' Khatijah Ibrahim, Dato' Ramli Sarip dan Dato' Jamal Abdillah, selain penyertaan artis legenda dari Sarawak.
Menurut beliau, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa industri hiburan dan seni persembahan, di samping menjadi wadah memperkukuh hubungan antara penggiat seni dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia demi memelihara warisan seni negara.
"Ramai dalam kalangan mereka telah mengorbankan masa dan tenaga untuk menghiburkan masyarakat selama puluhan tahun.
"Namun apabila usia meningkat, peluang membuat persembahan semakin berkurangan dan kebanyakan mereka tidak mempunyai pencen, KWSP atau jaminan persaraan seperti penjawat awam," katanya dalam sidang media mengenai penganjuran program tersebut di pejabat kementeriannya, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim berkata, Miri dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kedudukannya yang strategik serta menjadi pintu masuk utama pelancong, khususnya dari Brunei Darussalam dan kawasan utara Sarawak, sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan tempatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat-syarikat korporat di Sarawak agar tampil menyokong penganjuran majlis amal berkenaan sebagai penghargaan kepada legenda muzik negara yang telah banyak berjasa dalam memartabatkan industri muzik Malaysia.
"Saya menyeru warga Miri, Bintulu, Brunei Darussalam dan kawasan sekitarnya supaya hadir memberikan sokongan. Walaupun tiket berbayar, sebahagian besar hasil kutipan adalah untuk tujuan kebajikan.
"Pada masa sama, orang ramai akan dihiburkan oleh artis-artis legenda yang telah mewarnai industri muzik negara selama lebih 30 hingga 50 tahun," ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick, Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Dato' Khatijah Ibrahim serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato' Freddie Fernandez. -EDISI UKAS