Program Sarawakku Sayang Bawa Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah di Sibu dari 10 hingga 12 Julai ini bakal menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara terus.
Edisi kelima program anjuran Kerajaan Sarawak yang akan diadakan di Dataran Tun Tuanku Bujang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam menerusi konsep sehenti, sekali gus meningkatkan akses rakyat terhadap pelbagai perkhidmatan, bantuan serta maklumat pembangunan negeri.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian SKS 2026 Peringkat Bahagian Sibu yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 11 Julai.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang berurusan secara terus dengan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan badan berkanun menerusi penyediaan kaunter perkhidmatan, pameran pembangunan, khidmat nasihat serta pelbagai inisiatif kerajaan yang disediakan untuk manfaat rakyat.
Program itu turut menjadi platform kepada usahawan tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti serta memperluaskan peluang pemasaran perusahaan kecil dan sederhana.
Sebagai pembuka tirai, Malam Budaya Sarawak pada 10 Julai akan mengetengahkan kepelbagaian warisan budaya negeri menerusi persembahan muzik, tarian tradisional dan kesenian pelbagai etnik Sarawak.
Antara artis yang akan memeriahkan persembahan ialah Mawat, Haryati, Ho Kah Sin, Peter Aaron, Jaya Sapetar, DJ Sonic, DJ Dane Teng dan kumpulan K’Lunan Magat.
Pada sebelah malam 11 Julai, pengunjung pula bakal disajikan dengan Konsert Rakyat yang menampilkan Bob Yusuf, Ricky Andrewson, Jat Ali, Chien Ngu, Band D’Jaksa, Dayangku Fadzilah, Iwan Dasri, Yadee dan Fir Affandi.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan serta memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Program SKS 2026 dijangka terus menjadi platform strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta mempromosikan agenda pembangunan yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.- EDISI UKAS