Pertandingan Keling & Kumang Perkasa Warisan Budaya Dayak di Asajaya
ASAJAYA: Pertandingan Keling dan Kumang sempena Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Peringkat Daerah Asajaya 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkasakan warisan, adat resam dan identiti budaya masyarakat Dayak menerusi penyertaan peserta dari sekitar daerah ini.
Penganjuran pertandingan itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan pakaian tradisional, keperibadian serta pengetahuan peserta mengenai adat dan budaya Dayak, malah menjadi medium memupuk penghargaan generasi muda terhadap warisan yang diwarisi turun-temurun.
Bagi kategori Keling, Gibson John Kennedy muncul johan diikuti Morris Kisun Antoi di tempat kedua, manakala Aldan Noel Alestine menduduki tempat ketiga.
Dalam kategori Kumang pula, Kelssy Cassandra Pridy dinobatkan sebagai johan, tempat kedua dimenangi Eileen Gena James Jakan, manakala Charlena Reduan menduduki tempat ketiga.
Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan sijil.
Naib johan menerima RM1,200 berserta piala dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga menerima RM1,000 berserta piala dan sijil. Setiap penerima hadiah saguhati pula menerima RM500 berserta sijil.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Peringkat Daerah Asajaya 2026 pada Selasa.
Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Chek Bujang, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Temenggong Liew Shark Sen, Pemanca Jong Tze Ted, Penghulu John Gawit Dugat serta Ketua Kaum Kampung Moyan Ledang, Pridy Regus. -EDISI UKAS