Rumah Sarawak Bakal Jadi Pejabat Tetap Majlis Seni Sarawak
KUCHING: Bangunan warisan Rumah Sarawak di Reservoir Park bakal dijadikan pejabat tetap Majlis Seni Sarawak (MSS) selepas mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bangunan yang sebelum ini merupakan pejabat serta kediaman rasmi Ketua Menteri itu dipilih kerana persekitarannya yang tenang dan amat sesuai untuk pembangunan bidang seni.
“Golongan seni memerlukan suasana seperti itu kerana mereka perlu banyak bermeditasi untuk mencari ilham-ilham baharu, samada dalam tarian dan sebagainya, maka itulah persekitaran yang sesuai.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri telah bersetuju supaya keseluruhan kawasan bukit (Jalan Hill) tersebut dijadikan kawasan Majlis Seni Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Program Majlis Seni Sarawak (MSS) Bersama Media di Kuching pada Selasa.
Bagaimanapun tambahnya, bangunan tersebut perlu menjalani proses pengubahsuaian sebelum boleh digunakan sepenuhnya sebagai pejabat rasmi MSS.
Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kementeriannya telah mengenal pasti sebuah pejabat sementara di Kuching bagi memastikan segala aktiviti pembangunan seni dapat diteruskan tanpa gangguan.
Menurutnya, walaupun pejabat utama masih dalam proses renovasi, aktiviti pembangunan seni seperti pembelajaran, kelas nyanyian, kelas bimbingan dan sebagainya tidak boleh dihentikan.
“Saya hanya menunggu surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak kerana kemungkinan besar kita akan menggunakan tempat tersebut sebagai pejabat sementara.
“Ini bermakna kita akan mempunyai pejabat sementara dan saya perlu mengemukakan surat yang sama kepada Kabinet serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk kelulusan yang saya percaya tidak akan menjadi masalah.
“Dengan cara itu, perancangan kita untuk masa depan akan menjadi lebih jelas dan berterusan,” ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Ramzani