Penduduk Kawasan Asajaya Diseru Tidak Terburu Jual Tanah, Nilai Hartanah Dijangka Meningkat
ASAJAYA: Penduduk di kawasan Asajaya diseru agar tidak terburu-buru menjual tanah milik mereka kerana kawasan tersebut dijangka mengalami transformasi pembangunan yang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sekali gus berpotensi meningkatkan nilai hartanah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaksanaan beberapa projek pembangunan berskala besar akan menjadikan Asajaya antara kawasan yang menerima limpahan pembangunan di wilayah selatan Sarawak.
Menurut beliau, projek seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu, rangkaian jalan raya serta Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal kawasan berkenaan.
"Antara lokasi yang dijangka menerima impak pembangunan ialah Kampung Beliung, Kampung Moyan, Kampung Tambirat serta beberapa penempatan berhampiran berikutan kedudukannya yang strategik dengan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu.
"Jangan terburu-buru menjual tanah. Fikirkan kepentingan jangka panjang kerana nilai tanah di kawasan ini dijangka terus meningkat apabila projek-projek pembangunan dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai Peringkat Daerah Asajaya 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Moyan Ledang pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menasihatkan pemilik tanah supaya membuat pertimbangan secara bijaksana sebelum melepaskan aset mereka, khususnya bagi tanah yang tidak terlibat dengan pengambilan untuk tujuan pembangunan kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai projek infrastruktur yang sedang dan akan dilaksanakan dijangka mengubah landskap pembangunan Asajaya, sekali gus meningkatkan nilai hartanah serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan masyarakat memanfaatkan peluang yang bakal diwujudkan hasil pembangunan tersebut dengan meningkatkan kemahiran, memberi keutamaan kepada pendidikan serta bersedia menyertai aktiviti ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan keluarga.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Chek Bujang, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Temenggong Liew Shark Sen, Pemanca Jong Tze Ted, Penghulu John Gawit Dugat serta Ketua Kaum Kampung Moyan Ledang, Pridy Regus. -EDISI UKAS