Inisiatif Pembangunan Kerajaan Sarawak Terus Bawa Manfaat Kepada Rakyat
TEBEDU: Pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr). Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus membawa manfaat kepada rakyat serta memacu pembangunan negeri secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, pelbagai dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Menurut beliau, antara inisiatif yang memberi impak besar ialah pelaksanaan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak yang layak, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos.
"Kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Kemudahan pendidikan percuma ini merupakan pelaburan besar untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan," katanya semasa Majlis Marut Kirasah SK Sejijag, Gawai 2026 pada Selasa.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sejijag bagi pembelian kerusi dan meja untuk bilik Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Jelas beliau, sumbangan tersebut bertujuan menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada murid, di samping menyokong usaha meningkatkan kebajikan serta kualiti pembelajaran di sekolah.
Beliau juga menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap keperluan institusi pendidikan dan kebajikan murid bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih berkesan.
Turut hadir Guru Besar SK Sejijag, Pemanca Kane Manung serta Penghulu Donny Achan.-EDISI UKAS