Warisan Lenggok Tradisi Juara Pertandingan Bertandak SFCF 2026
KOTA SAMARAHAN: Kumpulan Warisan Lenggok Tradisi muncul juara Pertandingan Bertandak Kategori Terbuka sempena Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 selepas memukau barisan juri menerusi persembahan yang mantap, penuh penghayatan serta mengekalkan keaslian seni bertandak.
Kemenangan itu membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan dalam pertandingan yang berlangsung di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Desa Ilmu, pada Selasa.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Pewaris Seri Kenyalang yang menerima wang tunai RM800 berserta sijil penyertaan, manakala kumpulan Adinda Berdansa meraih tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM600 serta sijil penyertaan.
Pertandingan yang menjadi antara pengisian utama malam kelima SFCF 2026 itu menghimpunkan 22 kumpulan melibatkan 44 peserta yang berentap dalam dua kategori, iaitu Kategori Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Kategori Terbuka, sekali gus menarik kehadiran ratusan pengunjung.
Bagi Kategori PPDK, kumpulan PPDK Asajaya 1 dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM300 berserta sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi PPDK Asajaya 2 yang turut menerima RM300 berserta sijil penyertaan, manakala kumpulan Tepak Sirih menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM150 serta sijil penyertaan.
Pengerusi Pengelola SFCF 2026, Kr Prof. Madya Dr. Sopian Bujang berkata, pertandingan bertandak bukan sekadar acara hiburan, malah menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan memperkasa warisan budaya masyarakat Sarawak agar terus dihargai oleh generasi muda.
Menurut beliau, penyertaan Kategori PPDK turut membuka ruang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka dalam seni persembahan.
"Malam ini cukup istimewa kerana kita bukan sahaja menyaksikan pertandingan yang menghimpunkan lebih 20 kumpulan, malah dapat melihat bagaimana seni budaya menjadi medium yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta mempersembahkan pelbagai variasi gerak tari dan bertandak yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat tempatan, sekali gus mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada para pengunjung.
Penganjuran pertandingan itu turut mencerminkan komitmen SFCF 2026 dalam mempromosikan seni, budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum di Sarawak, di samping menyemarakkan kemeriahan festival yang berlangsung dari 26 Jun hingga 5 Julai.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pengerusi MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Pengerusi MPKS, Kr Daily Joseph, wakil Pegawai Daerah Samarahan, Faizal Asi serta Pengerusi Pengelola SFCF 2026, Kr Prof. Madya Dr. Sopian Bujang.-EDISI UKAS