Majlis Ngiling Bidai Perkukuh Usaha Pelihara Warisan Budaya Masyarakat
SEBUYAU: Majlis Ngiling Bidai yang berlangsung di Kampung Kesindu memperkukuhkan lagi usaha untuk memelihara warisan budaya masyarakat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan serta memelihara adat dan warisan budaya sebagai identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, sambutan seperti Ngiling Bidai bukan sekadar meraikan berakhirnya musim Gawai, malah berperanan memperkukuh hubungan kekeluargaan, semangat kejiranan dan keharmonian dalam komuniti.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis berkenaan, di sini pada Rabu.
Sebelum majlis perasmian, acara dimulakan dengan pertandingan menganyam ketupat yang disertai golongan wanita.
Pertandingan itu bukan sahaja mengetengahkan kemahiran warisan turun-temurun, malah menjadi platform memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta aktiviti kemasyarakatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para hadirin.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Tamida Da’adi dan Pengurus Besar Sarawak Energy Berhad (SEB) Nazry Abdul Latif. -EDISI UKAS