Penghayatan Al-Quran Asas Lahirkan Masyarakat Berintegriti
KUCHING: Penghayatan dan pengamalan ajaran Al-Quran perlu terus diperkukuh sebagai asas melahirkan masyarakat yang berilmu, berintegriti dan bersatu padu dalam merealisasikan aspirasi Sarawak Maju 2030.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi yang dinikmati Sarawak perlu diseimbangkan dengan pembangunan insan berteraskan nilai-nilai Islam agar kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Kuching 1448H/2026M, pada Rabu.
Menurut beliau, tema ‘Ummah Maju Makmur’ yang dipilih pada tahun ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan dan ekonomi, malah memiliki pegangan agama yang kukuh, berakhlak mulia serta mengamalkan nilai perpaduan.
Katanya, institusi keluarga, sekolah dan komuniti perlu terus diperkasakan dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing demi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa Al-Quran bukan sekadar sumber panduan dalam aspek kerohanian, malah menjadi rujukan penting dalam pembangunan ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi.
Menurut beliau, kemajuan teknologi digital hari ini membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mendalami Al-Quran menerusi aplikasi digital, kelas dalam talian dan siaran langsung yang lebih mudah diakses.
Katanya, penganjuran Tilawah Al-Quran pada tahun ini membuktikan teknologi boleh dimanfaatkan bagi memperluaskan syiar Islam apabila bacaan para qari dan qariah disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial serta paparan digital kepada masyarakat.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa Islam sentiasa menggalakkan umatnya memanfaatkan teknologi ke arah kebaikan selagi berlandaskan syariat,” katanya.
Pada majlis tersebut, Hadi Mohd Sharkawi diumumkan sebagai Johan kategori Qari, diikuti Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid sebagai Naib Johan dan Ahmad Luqman Ahmad Zaini di tempat ketiga.
Bagi kategori Qariah, Nur Fatin Nabihah Poniran muncul johan, manakala Nina Nurfayati Muhammad dinobatkan sebagai Naib Johan dan Kurniawati Abdul Rahim meraih tempat ketiga.
Johan bagi kedua-dua kategori menerima hadiah wang tunai RM1,500, Naib Johan RM1,000 dan pemenang tempat ketiga RM800.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mu’al Suaud, Pegawai Daerah Kuching yang mewakili Pemangku Residen Bahagian Kuching Zaidi Sarkawi dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jar’ee. -EDISI UKAS