SABATI Adakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Memperingati Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani
KUCHING: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menganjurkan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena memperingati pemergian Almarhumah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Surau Wisma Sabati, di sini, pada Khamis.
Majlis tersebut dihadiri oleh anak Allahyarhamah, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Presiden SABATI Dato Doreen Mayang, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Bendahari Kehormat SABATI Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang serta isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar.
Hadir sama, ahli keluarga terdekat Allahyarhamah, ahli MAKSAK Wanita Sarawak, ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan jemputan yang lain.
Program dimulakan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Ngatijem Misau bertajuk "Hijrah Hati: Menuju Keredhaan Ilahi" sebelum diteruskan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani, yang juga isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari, menghembuskan nafas terakhir pada 23 Jun 2025 di Pusat Perubatan Normah, Kuching dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang.-EDISI UKAS