Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Serantau Melalui BIWWEC 2026
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau dalam pengurusan air dan air sisa menerusi penganjuran Borneo International Water & Wastewater Exhibition & Conference (BIWWEC) 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata penganjuran acara tahunan itu menjadi platform penting yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri, ahli akademik, penyedia teknologi serta pelabur dari dalam dan luar negara bagi memacu inovasi serta memperkukuh kolaborasi dalam sektor air.
Menurut beliau, BIWWEC 2026 dijangka menarik kira-kira 1,500 delegasi antarabangsa, 2,500 pengunjung serta lebih 70 pempamer dari sekurang-kurangnya 19 negara, sekali gus menjadikannya antara acara industri air terbesar di rantau ini.
“Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam membangunkan sektor air yang mampan melalui pelaburan dalam infrastruktur, transformasi digital, pembangunan kapasiti serta pemeliharaan alam sekitar,” katanya semasa sidang media BIWWEC 2026 di BCCK, di sini, pada Khamis.
Beliau menambah, BIWWEC turut menjadi sebahagian daripada persiapan Sarawak ke arah penganjuran International Water Association (IWA) World Water Congress & Exhibition 2028, sekali gus memperkenalkan Kuching sebagai destinasi utama bagi acara bertaraf dunia dalam sektor berkenaan.
Dalam masa yang sama, kerajaan Sarawak turut giat melaksanakan pembangunan fasiliti seperti projek BCCK2 bagi memenuhi keperluan penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, beliau berkata penglibatan golongan muda turut diberi penekanan melalui penganjuran program khas seperti Young Water Professionals yang bertujuan menarik minat pelajar serta bakat baharu dalam industri air.
“Inisiatif ini penting untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu memahami dan menerajui hala tuju sektor air pada masa depan,” jelasnya.
Sehubungan itu, sekolah-sekolah di sekitar Kuching dan Samarahan akan dijemput secara rasmi bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan pengurusan air yang lestari.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang serta Setiausaha Tetap kementerian, Datu Jafri Lias serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS