KOTA SAMARAHAN: Kumpulan Lumora Band muncul juara pertandingan Battle of the Band sempena Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 selepas memukau barisan juri menerusi persembahan bertenaga dan berkualiti di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Desa Ilmu, pada Rabu.
Kemenangan itu membolehkan Lumora Band membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 berserta sijil penyertaan, sekali gus mengatasi saingan 13 kumpulan lain yang berentap dalam pertandingan tersebut.
Tempat kedua dimenangi Opera C Band yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil penyertaan, manakala Ez Band menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM1,000 serta sijil penyertaan.
Sebanyak 14 kumpulan muzik mengambil bahagian pada pertandingan edisi kali ini, dengan masing-masing menampilkan kreativiti, kemantapan vokal serta penguasaan persembahan yang mencerminkan bakat seni tempatan.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan dalam menjayakan pertandingan tersebut, di samping menyifatkan platform seperti Battle of the Band penting dalam mencungkil serta mengembangkan bakat pemuzik tempatan.
Malam kemuncak pertandingan turut diserikan dengan persembahan khas artis tempatan terkenal, Mawat, yang menghiburkan ribuan pengunjung menerusi rangkaian lagu popular dan persembahan penuh bertenaga.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph, Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari dan Timbalan Pengerusi Pengelola SFCF 2026 Jacquline Jutie. -EDISI UKAS