RM1.13 Juta Projek RTP Perkukuh Infrastruktur Luar Bandar DUN Opar
LUNDU: Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM1.13 juta di kawasan DUN Opar terus dipantau bagi memastikan setiap pembangunan infrastruktur dapat disiapkan mengikut spesifikasi serta memberi manfaat optimum kepada penduduk luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek-projek kecil luar bandar seperti menaik taraf sistem perparitan, jalan pertanian dan kemudahan akses kampung amat penting dalam meningkatkan keselesaan, keselamatan serta kesejahteraan penduduk.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan setiap projek yang diluluskan dapat disiapkan dengan baik, berkualiti dan memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN N1 Opar yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di beberapa lokasi sekitar Lundu pada Selasa.
Antara projek yang dilawati ialah Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Tebaro Fasa 1 bernilai RM350,000 dan Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Kampung Sebiris, Lundu bernilai RM300,000. Kedua-dua projek tersebut merupakan lawatan tapak pertama (First Site Visit) bagi menilai keadaan kawasan serta keperluan pelaksanaannya.
Beliau turut meninjau Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Sepadah Fasa 2 yang kini berada pada peringkat pemeriksaan akhir (Final Inspection Project) bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan memenuhi spesifikasi sebelum diserahkan sepenuhnya.
Lawatan itu turut merangkumi Projek Membina Jalan Masuk dan Culvert ke tapak Dewan Serbaguna Kampung Sepadah, Bau, Bahagian Kuching bernilai RM180,000 yang dilaksanakan sebagai projek khas bagi meningkatkan akses penduduk ke kemudahan awam serta menyokong pelbagai aktiviti komuniti setempat.-EDISI UKAS