MSSB Sri Aman Ke-60 jadi medan lahir atlet muda berpotensi
KUCHING: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Sri Aman Kali Ke-60 Tahun 2026 menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah, disiplin, semangat kepimpinan serta mencungkil bakat atlet muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin berkata, pendidikan masa kini perlu diseimbangkan antara kecemerlangan akademik dengan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan sosial melalui penglibatan aktif dalam sukan serta kokurikulum.
Menurut beliau, kejohanan olahraga bukan sekadar medan persaingan bagi mencapai kemenangan, malah menjadi wadah melahirkan murid yang berdaya tahan, berdisiplin, berkeyakinan tinggi dan mampu bekerjasama dalam satu pasukan.
“Melalui penyertaan dalam sukan, murid turut dididik agar menghormati peraturan, menerima kemenangan dan kekalahan dengan hati terbuka serta memahami bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha berterusan, disiplin yang tinggi dan semangat pengorbanan,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman Kali Ke-60 di Kompleks Sukan Sri Aman, pada Selasa.
Beliau turut menegaskan penglibatan aktif dalam aktiviti sukan perlu terus diperkasakan, khususnya dalam era digital, bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal dan mental serta mengimbangi penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Tambah beliau, sukan juga merupakan medium terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan latar belakang melalui semangat kerjasama, hormat-menghormati dan persaingan yang sihat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada guru, jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa memberikan komitmen serta sokongan dalam membimbing atlet sehingga berjaya mengembangkan potensi mereka.
Terdahulu, beliau mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, menyempurnakan majlis perasmian Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman Kali Ke-60.
Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman itu melibatkan penyertaan 14 kontinjen sekolah dan diadakan selama empat hari sehingga Jumaat.- EDISI UKAS