Liputan Internet di Kampung Pesisir Asajaya Bakal Dipertingkat
ASAJAYA: Usaha meningkatkan capaian internet di kawasan pesisir Asajaya akan dipercepat bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan digital yang lebih stabil.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan arahan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selepas menerima aduan mengenai masalah liputan internet di beberapa kampung di Asajaya.
Menurut beliau, penambahbaikan liputan internet amat penting agar masyarakat luar bandar tidak terus berdepan kekangan untuk mengakses kemudahan digital seiring dengan pembangunan pesat yang sedang berlaku di kawasan tersebut.
Katanya, sebahagian penempatan lama di Asajaya yang terletak di kawasan pesisir sungai dan jauh daripada laluan utama menyebabkan beberapa kampung masih mengalami masalah mendapatkan liputan internet yang stabil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai Peringkat Daerah Asajaya 2026 di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau berharap syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat turun padang bagi mengenal pasti kawasan yang masih mempunyai liputan lemah supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Pelaksanaan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk melalui peningkatan akses komunikasi, pendidikan, ekonomi digital serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.-EDISI UKAS