Serian Berpotensi Muncul Hab Pengeluaran Makanan Sarawak
SERIAN: Bahagian Serian berpotensi muncul sebagai hab pengeluaran makanan berasaskan sektor pertanian dan penternakan sejajar dengan pembangunan pesat yang sedang dinikmati Sarawak.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais berkata, potensi besar yang dimiliki kawasan itu mampu dimanfaatkan bagi memperkukuh keselamatan makanan negeri selain meningkatkan pendapatan penduduk menerusi sokongan berterusan Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, Sarawak kini berada pada landasan pembangunan yang pesat hasil dasar dan perancangan strategik kerajaan yang bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati manfaat pembangunan.
“Serian mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian dan penternakan. Dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak, kawasan ini mampu berkembang sebagai hab pengeluaran makanan yang penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri dan meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merut Kirasah SK Sejijag sempena Gawai 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Sejijag, Plaman, Tebedu, pada Selasa.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sejijag bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan kebajikan murid.
Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sejijag turut menerima RM20,000 bagi melaksanakan program pembangunan komuniti serta aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus membawa kemajuan mampan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada dan Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 250 penduduk.
Turut hadir Guru Besar SK Sejijag, Pemanca Kane Manung, Penghulu Donny Achan dan Ketua Kampung Antonio Tingui.- EDISI UKAS