AKM Komited Laksana Program Kenegaraan Di Sarawak Selari Aspirasi PCDS 2030
KUCHING: Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) komited memastikan pelaksanaan program-program kenegaraan di Sarawak terus diperkasa selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ketua Pengarah AKM, Dato Dr Roslan Hussin berkata, komitmen tersebut seiring dengan usaha merealisasikan hasrat Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, AKM akan terus memperluaskan kerjasama strategik dalam penganjuran pelbagai program kenegaraan yang memfokuskan kepada pemupukan semangat patriotisme, pengukuhan perpaduan, peningkatan kesedaran sivik serta penyemaian nilai cintakan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai pewaris kepimpinan masa depan.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Patinggi Abang Zohari di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, pertemuan berkenaan turut menjadi platform bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif baharu yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan memperkasakan agenda kenegaraan di Sarawak.
Dato Dr Roslan turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan kerjasama erat antara AKM dan Kerajaan Sarawak akan terus diperkukuh dalam usaha membina jati diri rakyat, memupuk semangat perpaduan serta memperkasakan nilai-nilai kenegaraan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Hadir sama, Pengarah AKM Sarawak Mohamad Faizal Lamat, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah AKM Fetty Azura Mohd Yunus, Penolong Pengarah AKM Sarawak Brendon Anderson Joseph dan Penyelia Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi Dorius Gumu. -EDISI UKAS