Taklimat Kesedaran Penggunaan Minyak Secara Cermat, Elak Pembaziran
MIRI: Pejabat Residen Bahagian Miri menganjurkan Taklimat Kesedaran Penggunaan Minyak Secara Cermat di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Selasa bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penggunaan bahan api secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.
Taklimat tersebut dipengerusikan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang dan dihadiri Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri, Englebert Ingath Desmond Japar, Eksekutif HASIL, Seksyen Khidmat Pelanggan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Sarawak, Luke Bujang, Pegawai-Pegawai Daerah Bahagian Miri; serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum.
Dalam ucapannya, Galong menegaskan bahawa penggunaan bahan api secara cermat merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan bekalan minyak dimanfaatkan secara berhemah dan mengelakkan pembaziran.
Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat perlu mengamalkan penggunaan bahan api secara bijak serta merancang keperluan harian dengan lebih cekap.
Beliau turut menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai amalan penggunaan bahan api secara berhemah, di samping menggalakkan masyarakat mendapatkan penjelasan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan.
Selain itu, beliau meminta KPDN, LHDNM serta agensi berkaitan mempergiat usaha penerangan di setiap daerah dan daerah kecil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan bahan api secara berhemah, sekali gus mengelakkan salah faham terhadap dasar dan inisiatif berkaitan.
Taklimat itu turut menjadi platform kepada peserta untuk bertukar pandangan serta mengemukakan pertanyaan mengenai amalan terbaik dalam penggunaan bahan api, sekali gus memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti dalam membudayakan amalan berjimat cermat. –EDISI UKAS