Samalaju SME Cluster Pemangkin PMKS Tempatan Sertai Rantaian Industri Global
BINTULU: Projek Samalaju SME Cluster dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan membuka lebih banyak peluang untuk menyertai rantaian bekalan industri bertaraf antarabangsa di Samalaju Industrial Park (SIP).
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata inisiatif itu memberi fokus kepada pembangunan PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negeri, sekali gus membolehkan lebih ramai usahawan tempatan menikmati limpahan pembangunan industri di Samalaju.
“Dengan pembangunan terbaharu ini, saya yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih banyak perusahaan tempatan di Samalaju dan kawasan sekitarnya.
“Saya berharap Samalaju SME Cluster akan menjadi platform kepada PMKS tempatan untuk berkembang dan menjadi pembekal kepada industri-industri utama di Samalaju, sama ada dalam bidang pembekalan bahan mentah, logistik, pergudangan, pembungkusan, penyelenggaraan, kejuruteraan mahupun perkhidmatan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Projek Samalaju SME Cluster di Samalaju, Bintulu pada Isnin.
Menurut beliau, pembangunan Samalaju yang berjaya menarik pelbagai syarikat multinasional bertaraf dunia akan lebih bermakna sekiranya lebih ramai usahawan tempatan mampu merebut peluang perniagaan yang diwujudkan melalui ekosistem industri tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan belia di Samalaju, Bintulu dan kawasan sekitarnya memanfaatkan kemudahan serta infrastruktur yang disediakan kerajaan untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem industri yang berkembang pesat.
Beliau turut berharap kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, pelabur, syarikat multinasional dan komuniti PMKS dapat terus memperkukuh kedudukan Samalaju sebagai hab industri yang bukan sahaja berjaya menarik pelaburan, malah melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, ADUN Jepak, Iskandar Turkee dan Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew.-EDISI UKAS