Premier Sarawak Sokong BLIIAF 2026, Mahu Nilai Antarabangsa Diperkasakan
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyokong penganjuran Festival Kesenian Islam Antarabangsa Batu Lintang (BLIIAF) 2026, sambil mencadangkan agar elemen keantarabangsaan festival itu diperkukuh bagi meningkatkan impak dan pengiktirafannya di peringkat global.
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Dr Abang Ismail Abang Julhi berkata, cadangan tersebut dikemukakan Premier Sarawak selepas mendengar pembentangan mengenai penganjuran festival yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 23 November 2026.
“Hasil daripada perbincangan dan pembentangan yang telah diadakan, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak telah menyokong penganjuran program ini serta mencadangkan supaya ia diperhalusi bagi memastikan nilai dan elemen antarabangsanya lebih menyerlah.
“Sehubungan itu, berdasarkan cadangan tersebut, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan festival ini melibatkan peserta dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, BLIIAF 2026 turut menyasarkan penyertaan warga pendidik, pentadbir institusi pendidikan serta pemimpin pendidikan dari rantau Asia dan Asia Pasifik bagi menjadikan festival itu sebagai platform pertukaran ilmu, budaya dan jaringan antarabangsa.
Pada masa sama katanya, penglibatan pemimpin pendidikan, mahasiswa, guru serta komuniti tempatan akan terus diberikan penekanan bagi memastikan festival tersebut menjadi wadah memperkukuh perkembangan kesenian Islam di negara ini.
“Penganjuran BLIIAF 2026 akan menghimpunkan pelbagai golongan pemikir untuk bersama-sama merancang dan memperkasakan program-program kesenian Islam, tanpa mengetepikan penyertaan masyarakat tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata, festival itu bakal menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran seni visual Islam, pertandingan kaligrafi, persembahan kebudayaan Islam, pertandingan nasyid serta wacana intelektual Islam kontemporari.
Katanya, penyertaan dibuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG), mahasiswa universiti antarabangsa serta komuniti setempat, termasuk penyertaan kategori kampung bagi pertandingan nasyid.
BLIIAF 2026 dijadual berlangsung di IPG Kampus Batu Lintang, Dewan Majma dan Masjid Darul Hana, serta dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak. -EDISI UKAS