Program UKAS Bersama Komuniti Perkukuh Jalinan Kerajaan & Rakyat
TATAU: Program UKAS Bersama Komuniti (Ngiling Bidai) 2026 terus menjadi wadah memperkukuh jalinan antara kerajaan dan rakyat melalui penyampaian maklumat mengenai dasar serta inisiatif pembangunan Sarawak, di samping memelihara warisan adat dan budaya masyarakat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin serta wakil agensi kerajaan.
“Program UKAS Bersama Komuniti (Ngiling Bidai) 2026 bertujuan mempererat hubungan antara kerajaan dan rakyat, di samping memperkukuh penyampaian maklumat mengenai dasar serta inisiatif Kerajaan Sarawak.
“Selain itu, ia juga memelihara dan meneruskan warisan adat serta budaya masyarakat untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program UKAS Bersama Komuniti (Ngiling Bidai) 2026 di Rumah Dali Anak Bundan, Pasir Nangka, Tatau pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie menggesa tuai rumah, ketua masyarakat dan ahli Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan menyalurkan setiap aduan serta isu melalui saluran rasmi supaya tindakan segera dapat diambil oleh agensi berkaitan.
Sementara itu, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, kerjasama erat antara ibu bapa, tuai rumah, ketua masyarakat dan pihak polis amat penting dalam membendung penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan, termasuk penggunaan vape yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
Menurut beliau, rampasan dadah bernilai jutaan ringgit di lapangan terbang dan pelabuhan membuktikan ancaman tersebut semakin serius serta memerlukan tindakan bersepadu bagi melindungi generasi muda, khususnya di kawasan luar bandar.
“Rampasan dadah dalam jumlah yang sangat besar berlaku di lapangan terbang dan juga di pelabuhan, mencecah jutaan ringgit.
“Siapakah yang membekalkan dadah itu? Anak-anak kita di luar bandar, sama ada anak Iban, Penan, Kayan dan kaum-kaum lain, perlu diberi perhatian kerana dadah amat berbahaya,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie serta ketua-ketua masyarakat dan penduduk setempat. –EDISI UKAS