Kerajaan Sarawak Perketat Kawalan Keselamatan Sempena Borderland Music Festival 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan sempena penganjuran Borderland Music Festival 2026 bagi memastikan festival muzik elektronik (EDM) itu berlangsung dalam suasana selamat serta bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan bersama pihak penganjur dan agensi berkaitan sebelum festival berlangsung bagi memastikan semua langkah pencegahan dapat dilaksanakan dibaca.
“Kita perlu melihat perkara ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Walaupun festival muzik seperti ini berpotensi menarik pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang, ia bukan alasan untuk menghentikan penganjurannya.
“Sebaliknya, semua pihak termasuk penganjur, kementerian, agensi berkaitan dan pasukan penguat kuasa perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan risiko dapat dikawal dan dikurangkan ke tahap minimum,” katanya pada sidang media Borderland Music Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur pada Rabu.
Beliau berkata, walaupun penyalahgunaan dadah tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, usaha bersepadu mampu mengawal risiko berkenaan agar tidak menjejaskan penganjuran festival.
Bagi memperkukuh kawalan keselamatan, Dato Sri Abdul Karim berkata, kerajaan akan meningkatkan pemantauan menerusi penempatan lebih ramai anggota penguat kuasa berpakaian awam selain menggunakan anjing pengesan di pintu masuk festival bagi menghalang cubaan membawa masuk atau mengedar dadah.
“Penggunaan anjing pengesan di pintu masuk merupakan antara langkah yang akan dilaksanakan bagi menghalang cubaan membawa masuk atau mengedar dadah.
“Pada masa sama, semua pihak termasuk agensi penguat kuasa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti bagi memastikan keselamatan dan keyakinan orang ramai terus terpelihara,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran festival berkenaan kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda menikmati muzik mengikut minat mereka, malah membuktikan kemampuan usahawan tempatan menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, pendekatan Sarawak berbeza dengan sesetengah negeri lain yang memilih untuk mengharamkan festival muzik selepas berlaku insiden penyalahgunaan dadah, sebaliknya kerajaan negeri mengambil pendekatan mengurus risiko melalui kawalan keselamatan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengasas Borderland Music Festival, Tiger Ming dan barisan ahli jawatankuasa penganjur Borderland Music Festival 2026.- EDISI UKAS