TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, pada Rabu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua persatuan tersebut Dato Dr Wan Ali Tuanku Madhi bertujuan menjemput Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk menghadiri Majlis Penangguhan Festival Jabat Sejagat 2026 yang dijadual berlangsung pada 25 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen CIDB, bersempena penganjuran festival berkenaan dari 22 hingga 25 Oktober 2026.
Festival yang membawa aspirasi memartabatkan seni persilatan dan warisan budaya tempatan itu akan menghimpunkan pelbagai aktiviti sepanjang empat hari penganjurannya.
Antara pengisian utama ialah pertandingan dan persembahan silat, memanah tradisional, melastik, Heritage Race, pertandingan mewarna, demonstrasi budaya, bengkel warisan serta pelbagai aktiviti interaktif yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai seni dan budaya tempatan.
Festival itu turut mengetengahkan pameran komuniti budaya yang memaparkan busana tradisional, songket, senjata warisan dan hasil seni kraf yang kesemuanya menampilkan identiti tempatan Sarawak.
Selain itu, pelbagai vendor makanan tempatan akan mengambil bahagian bagi memberi peluang kepada usahawan mempromosikan produk masing-masing sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi komuniti
Penganjuran festival berkenaan melibatkan pelbagai kerjasama daripada persatuan terdiri daripada memanah, melastik dan silat dari seluruh Sarawak serta beberapa agensi dan badan berkaitan.
Bagi memperkukuh hubungan serantau, pihak penganjur turut menjemput penyertaan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kalimantan, Brunei Darussalam, Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk bersama-sama menjayakan festival tersebut. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie