Manfaatkan Peruntukan MRP Demi Pembangunan Komuniti
PANTU: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diseru memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disalurkan bagi melaksanakan program dan aktiviti yang memberi impak kepada pembangunan komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan serta kelab perlu digunakan secara berkesan demi memperkukuh pembangunan sosial masyarakat.
“Kerajaan tidak mahu peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diberi kepada JKKK, persatuan atau kelab gagal dimanfaatkan sebaik mungkin dan tidak memberi impak kepada penduduk.
“Justeru, saya memohon agar JKKK, persatuan atau kelab di DUN Simanggang tidak mensia-siakan peruntukan MRP yang disumbang selama ini demi membantu pembangunan sosial penduduk dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Gawai Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pantu di Dewan Seri Pantu pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau turut mengajak rakyat terus menyokong Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sarawak menjelang 2030.
Pada majlis itu, Datuk Francis turut menyampaikan geran MRP berjumlah RM45,000 kepada lapan pertubuhan komuniti Cina di Daerah Pantu bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan Ketua Kaum kepada Liew Shan Boo sebagai Kapitan Cina Pasar Lachau. –EDISI UKAS