Naik taraf stesen minyak PNK Kabong tingkat akses bekalan bahan api komuniti luar bandar
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah mempengerusikan sesi perbincangan Projek Betong Division Development Agency (BDDA) bagi Projek Naik Taraf Stesen Minyak Persatuan Nelayan Kawasan Kabong yang berlangsung di Dewan PNK Kabong pada Rabu.
Projek menaik taraf Stesen Minyak Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong itu dijangka meningkatkan akses bekalan bahan api kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan nelayan, petani dan penduduk setempat di kawasan Kabong.
Perbincangan memberi tumpuan kepada cadangan menaik taraf mini stesen minyak sedia ada bagi menyediakan kemudahan bekalan bahan api yang lebih mudah, cepat dan selamat kepada pengguna di kawasan berkenaan.
Menurut Dato Mohd Chee, projek tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan penduduk untuk mendapatkan bekalan minyak dari kawasan yang lebih jauh, malah mampu menjimatkan masa serta kos perjalanan yang ditanggung oleh pengguna, terutama komuniti nelayan yang memerlukan bekalan bahan api secara berterusan bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
Selain itu, projek berkenaan turut dijangka memperkukuhkan pembangunan infrastruktur luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat selaras dengan usaha kerajaan mempertingkat kesejahteraan masyarakat di kawasan pesisir dan luar bandar.
Stesen minyak tersebut terletak di Kabong Bazaar, Jalan Jeti Kerajaan, 94650 Kabong, Sarawak di atas tapak milik Persatuan Nelayan Kawasan Kabong dengan keluasan kira-kira 1,282 meter persegi atau 0.3 ekar.
Dalam perbincangan sama, beberapa isu dan cabaran turut dibangkitkan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat berjalan lancar, termasuk mendapatkan pembekal minyak yang bersesuaian, penyediaan lakaran kedudukan dan reka bentuk stesen, keperluan mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa berkaitan serta cadangan supaya stesen minyak tersebut diurus dan dikendalikan sendiri oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kabong menerusi konsep Dealer Own Dealer Operate (DODO).
Dato Mohd Chee menegaskan bahawa projek tersebut merupakan satu inisiatif penting dalam meningkatkan kemudahan asas dan menyokong pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti Kabong khususnya golongan nelayan dan penduduk setempat.-EDISI UKAS