Rimbun International Sematan Run 2026 Dijangka Tarik 2,000 Peserta
KUCHING: Rimbun International Sematan Run 2026 dijangka menarik penyertaan 2,000 pelari dari dalam dan luar negara pada 6 September depan di Sematan Beach Park.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, penganjuran acara tersebut bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform strategik untuk mempromosikan Sematan sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.
Katanya, peserta dijangka melibatkan penyertaan dari seluruh Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia serta negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Kalimantan.
“Rimbun International Sematan Run 2026 bukan sekadar acara sukan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan, ekonomi setempat dan penglibatan komuniti.
“Sematan mempunyai kelebihan dari segi keindahan pantai, kemudahan penginapan serta jaringan jalan raya yang baik, sekali gus menjadikannya lokasi ideal untuk penganjuran acara sukan berskala besar,” katanya semasa sidang media di sini pada Rabu.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, wakil pengurusan acara Nik Suhaily dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Suzie Tuat.
Menurut Azizul lagi, penganjuran acara itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti sektor pelancongan dan perkhidmatan, termasuk hotel, inap desa, restoran, kafe, pengangkutan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Rimbun International Sematan Run 2026 menawarkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (Half Marathon), 10 kilometer (Competitive Run) dan 5 kilometer (Fun Run), sekali gus membuka peluang penyertaan kepada pelari daripada pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan.
Acara itu turut dijangka diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi menyempurnakan majlis pelepasan peserta, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan sukan dan pelancongan negeri.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, penganjuran kali ini turut mengangkat agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi usaha pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan masyarakat.
Sebahagian hasil kutipan yuran penyertaan serta sumbangan penaja akan disalurkan bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC), memandangkan Sematan merupakan antara kawasan pendaratan penyu yang penting di Sarawak.
Pada masa sama, sebahagian dana turut disumbangkan kepada Pusat Dialisis Lundu bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.
Bagi memeriahkan penganjuran, peserta berdaftar turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah Proton e.MAS, yang dijangka menjadi antara tarikan utama acara tersebut. -EDISI UKAS