Projek RTP Naik Taraf Sistem Saliran Kampung Tebelu Siap Lebih Awal, Manfaat Penduduk
SEBUYAU: Projek pembinaan baharu parit di Kampung Tebelu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus memperkukuh sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir dan takungan air di kawasan berkenaan.
Projek bernilai RM200,000 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai agensi pelaksana itu bermula pada 8 April 2026 dengan tempoh kontrak selama empat bulan, namun berjaya disiapkan pada 23 Jun 2026 berbanding tarikh siap asal 6 Ogos 2026.
Penyerahan projek tersebut disempurnakan dalam satu lawatan rasmi yang diadakan pada Rabu, disaksikan Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang bersama wakil JPS Sarawak.
Projek berkenaan diserahkan kepada kontraktor K.P.L. Abang Enterprise sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tebelu untuk dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Skop pelaksanaan projek melibatkan pembinaan dan penyiapan parit terbuka konkrit bertetulang (R.C. Open Drain) berukuran 600 milimeter lebar dengan panjang keseluruhan 381 meter, selain kerja-kerja awal dan kerja am berkaitan.
Kemudahan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan sistem saliran di Kampung Tebelu, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat, mengatasi masalah takungan air serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar menerusi penyediaan kemudahan asas yang berkualiti demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Hadir sama Wakil Pejabat Land and Survey Bahagian Samarahan, Mohamad Ikhwan Mohamad Hafipi, wakil JKKK Kampung Tebelu, Yisri Ali serta wakil kontraktor, Abang Sapian Abang Wahab.- EDISI UKAS