Taklimat Keselamatan Tingkat Kesedaran Masyarakat Hadapi Situasi Kecemasan
SEBUYAU: Penduduk Kampung Kesindu didedahkan dengan pelbagai aspek keselamatan menerusi sesi Taklimat Keselamatan yang diadakan di Dewan Kampung Kesindu bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan kebakaran dan langkah menghadapi situasi kecemasan.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Awang Johari Awang Onget yang berkongsi pengetahuan mengenai langkah-langkah pencegahan kebakaran di rumah, tindakan awal ketika berlaku kebakaran, penggunaan alat pemadam api serta kepentingan menyediakan pelan pemindahan kecemasan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran awal dan tindakan pantas mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sekiranya berlaku kebakaran.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Nazari Harun yang bersama-sama menjayakan sesi taklimat serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan kecemasan.
Program tersebut diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengutamakan aspek keselamatan, di samping membudayakan amalan pencegahan kebakaran dalam kehidupan seharian. -EDISI UKAS