35 Peserta Sertai Kursus Kesempurnaan Solat di Dalat
DALAT: Seramai 35 peserta dari kampung sekitar daerah Dalat menyertai Kursus Kesempurnaan Solat Bagi Saudara Kita (Lelaki) Daerah Dalat Siri 5 Bil. 1/2026 di Masjid Al-Muslihin Dalat, pada Rabu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyertaan tersebut membuktikan kesungguhan peserta untuk terus mendalami ilmu agama serta memperbaiki amalan ibadah, khususnya dalam menunaikan solat.
“Kursus seperti ini amat penting bagi memberi kefahaman jelas tentang tatacara solat mengikut tuntutan syarak.
"Di samping itu, ia menjadi platform untuk memperbetulkan kesilapan yang mungkin dilakukan tanpa disedari serta meningkatkan keyakinan dalam melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna,” katanya ketika berucap dalam kursus tersebut.
Beliau berharap agar peserta mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian serta menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga dan masyarakat di tempat masing-masing.
Sementara itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat di negeri ini dengan memastikan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Jelasnya, rakyat Sarawak perlu bersyukur kerana kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dengan sokongan pelbagai pihak, sekali gus memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
Dalam perkembangan sama, Dato Sri Fatimah berkata sebanyak 35 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat menerima bantuan baik pulih menerusi Projek Kecil Luar Bandar – Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) Fasa 1 bagi tahun 2026 dengan jumlah peruntukan RM488,000.
"Bantuan ini melibatkan kerja-kerja membaik pulih atap dan siling bocor, dinding, dinding dapur, lantai, tandas serta kerosakan lain yang memerlukan perhatian.
“Di kawasan DUN Dalat, kita memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mencadangkan penerima bantuan, menilai tahap kerosakan serta menentukan keperluan peruntukan bagi rumah di kampung masing-masing,” tambahnya. -EDISI UKAS