Penambahan 17 Kerusi DUN Sarawak Wajar Disegerakan Demi Perwakilan Lebih Seimbang
MUKAH: Proses penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak wajar disegerakan bagi membolehkan pelaksanaannya dipertimbangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, sekali gus memastikan perwakilan rakyat lebih seimbang dan memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cadangan berkenaan telah melalui proses perbincangan, perbahasan dan mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri Sarawak mengikut peruntukan undang-undang pada awal Julai tahun lalu.
Menurut beliau, proses teknikal yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk kajian, penelitian dan pameran awam, wajar dilaksanakan secara teratur serta dipercepatkan dalam tempoh yang munasabah memandangkan penggal DUN Sarawak kini memasuki tahun terakhir sebelum terbubar secara automatik.
“Penambahan 17 kerusi DUN Sarawak merupakan usaha untuk memastikan kadar perwakilan rakyat lebih seimbang dan selaras dengan realiti semasa, khususnya melibatkan kawasan yang luas di Sarawak serta pertambahan jumlah pengundi dari semasa ke semasa.
“Ia juga penting bagi memperkukuh keberkesanan sistem penyampaian serta pelaksanaan dasar kerajaan, di samping memastikan pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Royston menambah, Kerajaan Persekutuan telah menerima mandat daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung cadangan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan negara dapat menunjukkan komitmen bagi memastikan proses berkenaan tidak dipengaruhi sebarang pertimbangan politik yang boleh menyebabkan kelewatan pelaksanaannya.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain tindakan susulan oleh SPR, Parlimen Malaysia juga mempunyai peranan penting dalam mengesahkan cadangan penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak.
“Sehubungan itu, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan perhatian serius terhadap perkara ini dan memastikan semua urusan berkaitan diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat serta pembangunan berterusan di Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS