Festival EDM Terbesar Borneo Sasar Impak Ekonomi RM8 Juta, Tarik Sehingga 22,000 Pengunjung
KUCHING: Borderland Music Festival 2026 menyasarkan impak ekonomi langsung sebanyak RM8 juta kepada Sarawak menerusi penganjuran festival muzik elektronik (EDM) terbesar di Borneo yang akan berlangsung pada 11 hingga 12 September depan di Sarawak Cultural Village (SCV), Santubong.
Festival edisi keempat itu dijangka menarik kehadiran antara 21,000 hingga 22,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Pengasas Borderland Music Festival, Tiger Ming berkata, sasaran tersebut merupakan peningkatan berbanding kira-kira 18,000 pengunjung yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.
“Tahun lalu kami menerima kira-kira 18,000 pengunjung dan tahun ini kami menyasarkan antara 21,000 hingga 22,000 pengunjung.
“Ia akan menjadi penganjuran yang lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media Borderland Music Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur pada Rabu.
Beliau berkata, sambutan awal terhadap festival berkenaan juga amat memberangsangkan apabila jualan tiket telah mencapai 50 peratus meskipun masih berbaki lebih dua bulan sebelum acara berlangsung.
“Bagi jualan tiket ‘blind sale’, apabila kami mengumumkan festival tanpa mendedahkan barisan artis, tiket habis dijual dalam masa beberapa minit. Kini, sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan tiket termasuk tiket VIP dan sofa VVIP telah terjual,” jelasnya.
Menurut beliau, permintaan tinggi terhadap festival itu turut memberi limpahan kepada industri pelancongan apabila beberapa penginapan di sekitar Santubong termasuk Damai Beach Resort, The Culvert dan Cocoon Resort dilaporkan habis ditempah sejurus tarikh penganjuran diumumkan pada April lalu, meskipun barisan artis belum didedahkan.
Festival kali ini bakal menampilkan barisan artis antarabangsa seperti KSHMR, Ben Nicky, Blasterjaxx, Arcando, DNA (Mister Aloy & JayJax), Juelz dan RAMENGVRL bersama Indahkus, Dia serta Kenz, selain lebih 40 artis dari pelbagai negara dan rantau.
Penganjur turut menjanjikan rekaan pentas baharu, produksi lebih besar serta persembahan kesan khas yang lebih mengagumkan.
Selain hiburan, Borderland Music Festival 2026 buat julung kalinya akan memperkenalkan bengkel budaya tradisional yang diinspirasikan daripada kejayaan Rainforest World Music Festival (RWMF) bagi mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya Sarawak dan Borneo.
Festival itu turut menyediakan lebih banyak ruang jualan seni dan kraftangan tempatan pada harga berpatutan sebagai usaha memelihara serta mempromosikan warisan tempatan.
Sepanjang tiga penganjuran terdahulu, Borderland Music Festival telah menarik lebih 33,000 pengunjung dan menjana impak ekonomi langsung dianggarkan RM10.3 juta melalui sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta jualan tiket.
Bagi tahun ini, penganjur turut merancang dua acara tertutup di Kuching dan Miri menjelang hujung tahun bagi memperkukuh pembangunan bakat DJ serta komuniti kreatif tempatan, sebelum memperluaskan penganjuran kepada empat acara pada tahun 2027.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengasas Borderland Music Festival, Tiger Ming dan barisan ahli jawatankuasa penganjur Borderland Music Festival 2026.- EDISI UKAS