Jefri Johari Bertuah Bawa Pulang Perodua Axia Pada SKS Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Tuah menyebelahi Jefri Johari dari Kampung Melayu Samarahan apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta Perodua Axia menerusi Cabutan E-Peraduan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan pada Isnin.
Kegembiraan turut dikongsi Nur Nazwa Yasmin Kasim dari Kampung Tambirat yang membawa pulang sebuah telefon pintar Apple iPhone 17 menerusi cabutan bertuah berkenaan.
Kedua-duanya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama pada acara cabutan yang berlangsung di Pentas Utama SKS Bahagian Samarahan, Halaman Samarahan, sekali gus menceriakan suasana program yang menawarkan lebih 30 hadiah menarik kepada peserta.
Pengumuman pemenang turut mendapat perhatian pengunjung yang menyaksikan detik penuh kegembiraan kedua-dua peserta berkenaan ketika nama mereka diumumkan.
Hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Sapiah Daud.
Cabutan E-Peraduan itu merupakan antara tarikan utama SKS 2026 Bahagian Samarahan yang menghimpunkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, perkhidmatan kerajaan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan perasmian program berkenaan yang turut dihadiri barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.
Program SKS 2026 Bahagian Samarahan yang berlangsung selama dua hari bermula 22 November itu melabuhkan tirainya pada Isnin selepas menyediakan pelbagai pengisian bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, sekali gus mendekatkan perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan Sarawak kepada rakyat.-EDISI UKAS