Samarahan Diperkukuh Sebagai Hab Penyelidikan Strategik Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Samarahan terus diperkukuh sebagai hab penyelidikan strategik Sarawak dengan memanfaatkan kepakaran institusi pendidikan tinggi, penyelidikan saintifik dan bidang perubatan bersepadu bagi memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan sains dan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan sektor penyelidikan menjadi antara pemacu penting dalam memperkukuh kedudukan Samarahan sebagai pusat ilmu dan inovasi pada masa hadapan.
“Untuk masa depan, Samarahan masih lagi menjadi satu pusat penyelidikan strategik yang kita kongsi kepada masyarakat dan khususnya kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Siri Ke-11 Peringkat Bahagian Samarahan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kewujudan institusi pendidikan tinggi dan pusat penyelidikan di Samarahan membuka peluang lebih luas untuk memperkembangkan kajian berkaitan penyakit utama, bidang biologi serta pembangunan taman pendidikan biologi.
Katanya, potensi itu turut merangkumi bidang perubatan bersepadu yang menggabungkan pendekatan perubatan Timur dan Barat bagi meneroka kaedah rawatan yang lebih menyeluruh.
Beliau menjelaskan, hasil penyelidikan serta kepakaran dalam bidang berkenaan mampu menjadi sumber rujukan penting kepada kerajaan dalam merangka dasar dan menentukan hala tuju pembangunan ekonomi Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada kementerian dan agensi kerajaan, khususnya di wilayah selatan Sarawak, atas komitmen menjayakan penganjuran SKS sebagai platform mendekatkan perkhidmatan serta maklumat pembangunan kepada rakyat.
Beliau berharap masyarakat memanfaatkan penganjuran program itu untuk memahami pelbagai inisiatif dan perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak, termasuk projek yang bakal dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.-EDISI UKAS