Kembara UKAS 2.0: Opar Dan Tasik Biru Perkukuh Pembangunan Infrastruktur, Komuniti & Pelancongan
Kembara UKAS 2.0 meneruskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mendekati masyarakat luar bandar menerusi pendekatan komunikasi bersemuka di samping meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta inisiatif kerajaan yang memberi impak kepada kehidupan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.
Sebagai kesinambungan kepada siri kembara yang dilaksanakan pada awal 2026 di sepanjang laluan persisiran Sarawak, sesi kedua ini memberi tumpuan kepada kawasan jalan pedalaman dan jalan ‘ulu’ yang melalui Lebuhraya Pan Borneo. Pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau kemajuan pembangunan, malah memperkukuh penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menerusi penglibatan secara langsung bersama komuniti, Kembara UKAS berperanan menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus memperluas capaian maklumat yang tepat, meningkatkan kefahaman terhadap dasar kerajaan serta menangani penyebaran maklumat tidak sahih.
Seiring matlamat itu, siri pada kali ini dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar dan N.2 Tasik Biru yang memperlihatkan usaha berterusan dalam menyediakan infrastruktur, memperkukuh kemudahan masyarakat serta mengembangkan potensi ekonomi setempat.
Opar Terus Membangun, Peniaga Biawak Mengharap Sinar Baharu
Menikmati kemudahan jalan raya, bekalan elektrik, capaian internet dan pelbagai utiliti asas yang semakin baik menjadi antara perkara yang membanggakan penduduk di kawasan Dewan DUN N.1 Opar, khususnya bagi mereka yang menetap berhampiran sempadan Sarawak-Indonesia.
Bagi Buang Binat yang telah menetap dan mengusahakan perniagaan di kawasan sempadan Biawak sejak 2007, perubahan pembangunan di kawasan itu amat ketara jika dibandingkan dengan keadaan di negara jiran, Indonesia.
Walaupun kedua-dua masyarakat berkongsi hubungan serumpun, budaya dan kedudukan geografi yang berdekatan, perbezaan dari segi pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas dapat dilihat dengan jelas.
Bagi Buang, beliau berpuas hati dengan pembangunan yang dinikmati penduduk Opar, terutama penyediaan kemudahan asas yang banyak membantu kehidupan seharian masyarakat.
Menurutnya, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan capaian internet yang tersedia menunjukkan usaha kerajaan dalam menyediakan prasarana yang diperlukan rakyat, termasuk masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran sempadan.
"Kalau dari segi pembangunan, saya amat berpuas hati. Jalan, elektrik, internet dan kemudahan utiliti lain semuanya sudah ada," katanya ketika ditemu bual dalam program Kembara UKAS 2.0.
Pengalaman tinggal dan mencari rezeki di kawasan sempadan selama hampir dua dekad membolehkan Buang melihat sendiri perubahan pembangunan di Opar.
Bagaimanapun, di sebalik kepuasan terhadap kemajuan pembangunan tersebut, beliau turut mempunyai harapan agar kegiatan ekonomi di kawasan Biawak kembali rancak seperti sebelum pandemik COVID-19.
Perniagaan Sempadan Semakin Mencabar Selepas COVID-19
Mengusahakan gerai makan Manis-Manis Sayang serta perkhidmatan inap desa atau ‘homestay’ berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, Buang mengakui perubahan jumlah pengunjung sejak pandemik COVID-19 amat ketara dan memberi kesan kepada kelangsungan perniagaannya.
Jika dahulu kawasan berkenaan menerima sambutan menggalakkan, khususnya daripada pengunjung negara jiran Indonesia yang datang ke Sarawak dan menginap di ‘homestay’, keadaan kini jauh berbeza.
Menurutnya, mendapatkan pelanggan untuk memenuhi bilik penginapan bukan lagi semudah dahulu apabila jumlah pengunjung dari kedua-dua negara, Sarawak dan Indonesia, semakin berkurangan.
"Kalau dahulu senang hendak penuh, sekarang susah sedikit. Sambutan semakin kurang kerana pengunjung pun semakin berkurangan," katanya menggambarkan keadaan perniagaan yang diusahakannya.
Keadaan itu turut dirasai oleh peniaga lain di kawasan berkenaan yang mempunyai kira-kira tujuh buah kedai, termasuk perniagaan makanan dan penginapan yang bergantung kepada kehadiran pengunjung rentas sempadan.
Bagi Buang, pengunjung dari Indonesia khususnya memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan inap desa kerana mereka merupakan antara pelanggan utama yang menginap di kawasan Biawak.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian bagi membantu peniaga di kawasan Biawak, sekali gus mengembalikan sambutan pengunjung seperti yang pernah dinikmati sebelum pandemik.
Harapan tersebut bukan sekadar untuk memulihkan perniagaan masing-masing, tetapi juga menghidupkan semula kegiatan ekonomi di kawasan sempadan yang mempunyai potensi untuk berkembang melalui hubungan antara masyarakat Sarawak dengan Indonesia.
Pembangunan N.1 Opar Pacu Kemajuan, Tingkat Produktiviti Penduduk
Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berasaskan keperluan masyarakat setempat di kawasan DUN N1 Opar sepanjang lima tahun lepas dilihat berjaya membawa perubahan positif, khususnya dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur dan aktiviti ekonomi penduduk.
Pemanca Bidayuh Daerah Lundu, Allen Manium berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan pembangunan di kawasan itu yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, antara projek yang memberi impak ketara ialah pembinaan jalan pertanian yang memudahkan penduduk mengakses tanah pertanian masing-masing, sekali gus meningkatkan produktiviti tanaman seperti kelapa sawit dan tanaman kontan.
“Projek seperti pembinaan jalan pertanian amat membantu penduduk kerana memudahkan mereka mengakses kawasan tanah masing-masing dan mengusahakan tanaman dengan lebih produktif,” katanya.
Allen yang juga bekas Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak dan bekas pegawai kanan pendidikan negeri optimis bahawa momentum pembangunan sedia ada mampu merapatkan jurang kemajuan antara Opar dengan kawasan lain menjelang 2030.
Beliau yakin usaha pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan dan mengambil kira keperluan penduduk akan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Ujarnya, pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat bukan sekadar menyediakan kemudahan infrastruktur, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Transformasi Opar Dan Tasik Biru Pacu Kesejahteraan Rakyat
Dalam pada itu, sebanyak 187 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM149.98 juta bagi kawasan DUN N.1 Opar direkodkan setakat September 2026 yang jelas mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 138 projek atau 73.80 peratus melibatkan sektor infrastruktur dengan nilai RM121.73 juta, manakala 49 projek lagi atau 26.20 peratus merupakan projek sektor sosial bernilai RM28.25 juta.
Komposisi tersebut memperlihatkan keutamaan terhadap penyediaan infrastruktur sebagai asas kepada pembangunan kawasan, khususnya dalam memastikan penduduk mempunyai akses lebih baik kepada kemudahan jalan raya, bekalan air dan infrastruktur sokongan yang diperlukan dalam kehidupan seharian.
Mengikut jenis projek, pembinaan dan penaiktarafan jalan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 69 projek dengan nilai RM63.95 juta atau 42.64 peratus daripada keseluruhan kos pembangunan.
Ia diikuti 53 projek berkaitan bekalan air bernilai RM22.24 juta, manakala tujuh projek infrastruktur pertanian diperuntukkan RM20.05 juta. Selain itu, sebanyak 37 projek melibatkan pembinaan atau penaiktarafan dewan masyarakat dengan nilai RM14.82 juta.
Dari segi status pelaksanaan, sebanyak 72 projek atau 38.50 peratus berada pada peringkat pelaksanaan, manakala 66 projek atau 35.29 peratus masih dalam perancangan. Sebanyak 42 projek atau 22.46 peratus telah siap, sementara tujuh projek lagi berada dalam kategori belum bermula.
DUN N.2 Tasik Biru: Infrastruktur, Pelancongan Dan Kemudahan Komuniti Pemacu Transformasi Bau
Sementara itu, pembangunan di DUN N.2 Tasik Biru memperlihatkan pendekatan yang turut memberi penekanan kepada pengukuhan infrastruktur, kemudahan komuniti dan potensi pelancongan bagi merancakkan ekonomi Daerah Bau.
Menerusi projek yang diselaraskan oleh Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), sebanyak 15 projek dengan nilai keseluruhan RM90.85 juta dikenal pasti untuk kawasan berkenaan.
Antara projek berimpak besar ialah pembangunan kemudahan pelancongan di Gunung Bronang, Singai yang melibatkan kos RM37 juta. Projek tersebut berpotensi memperkukuh kedudukan Bau sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan tempatan.
Dalam aspek pembangunan luar bandar, pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tempoh 2020 hingga 2026 turut memberikan sumbangan penting kepada pembangunan Tasik Biru.
Sebanyak 128 projek dengan peruntukan kumulatif RM16.237 juta direkodkan sepanjang tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, 102 projek atau 79.7 peratus telah siap, manakala 26 projek atau 20.3 peratus masih dalam perancangan.
Antara projek yang telah disiapkan termasuk pembinaan jambatan baharu Belian ke Sungai Kana, dewan serbaguna di Taman Mutiara, Jambusan, penaiktarafan jalan Botas-Baki di Kampung Tanjong Bowang serta pembinaan jalan ke Tembawang Serasot.
Pembangunan Menyeluruh, Manfaat Kepada Rakyat
Pembangunan di Opar dan Tasik Biru memperlihatkan bahawa kemajuan sesebuah kawasan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau projek yang dilaksanakan, tetapi juga sejauh mana kemudahan tersebut mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Tumpuan terhadap infrastruktur di Opar dan gabungan pembangunan komuniti serta pelancongan di Tasik Biru mencerminkan keperluan pendekatan pembangunan yang mengambil kira potensi dan keutamaan setiap kawasan.
Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap projek yang dirancang dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, disiapkan mengikut jadual serta memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Dengan penyelarasan agensi pelaksana dan pemantauan berterusan, kedua-dua kawasan ini berpotensi terus berkembang sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak yang lebih inklusif, seimbang dan mampan. -tamat