Bengkel Kraf Tangan Perkasa Wanita, Pelihara Warisan Budaya Iban
KAPIT: Seni kraf tangan tradisional perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya masyarakat Iban, selain berpotensi menjadi sumber pendapatan kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan wanita.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata kemahiran menghasilkan kraf tradisional seperti tenunan, sulaman dan anyaman manik mencerminkan identiti, sejarah serta adat resam masyarakat Iban yang diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Bengkel Kraf Tangan anjuran Biro Wanita Rumah Rose Anak Jimban di Nanga Sebatu, Kapit pada Sabtu.
Beliau menggalakkan peserta berkongsi kemahiran dengan generasi muda bagi memastikan seni kraf tradisional terus diwarisi dan tidak dilupakan akibat arus pemodenan.
Selain itu, beliau berkata hasil kraf tangan berpotensi dikomersialkan melalui peningkatan kualiti, kreativiti, kemasan dan pembungkusan produk, selain penggunaan platform digital serta media sosial untuk meluaskan pasaran.
Menurut beliau, usaha tersebut mampu membuka peluang pendapatan tambahan kepada golongan wanita dan keluarga di rumah panjang, sekali gus memperkukuh penyertaan mereka dalam pembangunan sosioekonomi setempat.
Beliau turut berharap agar Biro Wanita Rumah Rose Anak Jimban meneruskan bengkel seumpama itu secara berterusan serta menggalakkan peserta mempraktikkan dan menyebarkan kemahiran yang dipelajari kepada komuniti lain.
Tambah beliau, kemajuan sesebuah komuniti bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga keupayaan mengekalkan identiti budaya, adat resam dan warisan masyarakat.
Turut hadir isteri beliau, Datin Nancy Kuyor, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Jalai Awan, Penghulu Robert Ngumbang, Pegawai Perhubungan Komuniti (CLO) URDA, Kelimbik Sibat, Pengerusi SIDS Kapit, Annie Belikau serta peserta dari kawasan Melipis dan Entangai.-EDISI UKAS