Pertanian Moden Buka Peluang Tingkat Pendapatan Petani Luar Bandar
SIBU: Transformasi sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden, pengurusan lebih sistematik dan pembangunan aktiviti hiliran berpotensi meningkatkan produktiviti serta pendapatan masyarakat luar bandar di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian perlu beralih daripada kaedah tradisional kepada pendekatan pengeluaran moden bagi memastikan bidang itu mampu memberikan pulangan lebih baik kepada golongan petani.
“Kita perlu mengubah cara berfikir dan pendekatan dalam sektor pertanian supaya bidang ini mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada masyarakat, khususnya golongan petani.
“Perkara itu bukan sesuatu yang mustahil sekiranya kita mempunyai perancangan, sistem dan model perniagaan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Demo Plot Sawah Padi di Rumah Unjah, Sungai Melangan, pada Isnin.
Menurutnya, perubahan pendekatan tersebut memerlukan perancangan, sistem pengurusan serta model perniagaan yang tepat, selain tidak hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur asas semata-mata.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, Sarawak memerlukan kira-kira 450,000 metrik tan beras setahun bagi memenuhi keperluan penduduk, sekali gus menjadikan peningkatan pengeluaran padi tempatan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Sehubungan itu tegasnya, penggunaan teknologi pertanian moden termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), sistem pengairan moden serta kaedah pertanian pintar perlu dipertingkat bagi membantu meningkatkan hasil tanaman dan kecekapan pengurusan ladang.
Selain pengeluaran padi, sektor pertanian katanya juga perlu dipelbagaikan menerusi penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman bernilai tinggi menggunakan sistem fertigasi serta rumah hijau bagi membolehkan pengeluaran lebih terancang dan konsisten.
Beliau turut menekankan potensi pembangunan aktiviti hiliran dalam sektor pertanian apabila hasil tanaman diproses menjadi produk bernilai tambah, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pertanian, peranan persatuan peladang dan persatuan tuai rumah perlu diperkasa bagi memastikan petani mendapat akses kepada latihan teknikal, bimbingan, jentera, kemudahan pembiayaan serta pasaran, sekali gus membolehkan perusahaan pertanian diuruskan secara lebih profesional.
Turut hadir Pengarah Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat, Ketua Seksyen Padi dan Bijirin, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Nancy Mongin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Padi dan Bijian, Jabatan Pertanian Sarawak, Jafaruddin Ali, Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon dan Pengarah Urusan Borneo Agritech Sdn Bhd, Bayang Ringkat.-EDISI UKAS