Projek RTP Parit Konkrit Kampung Kelka Lama Siap Awal, Tingkat Kecekapan Saliran
SIMUNJAN: Projek pembinaan parit konkrit di Kampung Kelka Lama di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bernilai RM89,830 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus mempertingkat sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan itu melibatkan pembinaan parit konkrit terbuka (R.C. Open Drain) selebar 600 milimeter sepanjang kira-kira 120 meter.
Kerja pembinaan bermula pada 8 April 2026 dan berjaya disiapkan pada 23 Jun lalu, lebih awal daripada tarikh siap asal yang dijadualkan pada 6 Ogos 2026.
Majlis penyerahan siap projek pada Rabu disaksikan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffen bersama wakil JPS sebelum diserahkan kepada Ketua Kaum Kampung Kelka Hilir, Mat Sidi Hossin selaku wakil komuniti setempat.
Pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan kecekapan sistem perparitan, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat dan limpahan air ketika musim hujan demi keselesaan serta kesejahteraan penduduk.
Projek RTP merupakan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyediaan kemudahan asas dan mempercepat pembangunan infrastruktur luar bandar bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Faemarshiela Christine Juel, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Samantha Claire Daniel dan Penolong Jurutera JPS Bahagian Samarahan, Nyuak Iba. -EDISI UKAS