Projek padi 500 hektar di Daro perkukuh keterjaminan makanan Sarawak
DARO: Cadangan pembangunan Projek Tanaman Padi Nangar Blok G seluas kira-kira 500 hektar di Daro dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata pelaksanaan projek berkenaan diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan penduduk luar bandar serta pembangunan infrastruktur pertanian yang lebih sistematik dan mampan.
Menurut beliau, projek tanaman padi berskala besar itu merupakan antara inisiatif strategik dalam memperkukuh pembangunan sektor pertanian di kawasan Daro dan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran makanan.
“Selain meningkatkan keluasan kawasan penanaman padi di Daro, projek ini dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi setempat sekali gus menyumbang kepada agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Dialog dan Sesi Libat Urus Projek Pembangunan Tanaman Padi Nangar Blok G yang berlangsung di Dewan Telo Samah, Kampung Nangar Besar, di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, kejayaan projek pertanian berskala besar seperti itu memerlukan persefahaman serta komitmen semua pihak, khususnya pemilik tanah dan pihak berkepentingan, bagi memastikan matlamat meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta kesejahteraan masyarakat luar bandar dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pendekatan libat urus bersama masyarakat merupakan langkah penting bagi memastikan setiap cadangan pembangunan dapat dilaksanakan secara tersusun, telus dan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat.-EDISI UKAS