Data Menjadi ‘Minyak’ Baharu Sebagai Pemacu Utama Pertumbuhan Ekonomi
KUCHING: Data kini menjadi ‘minyak’ baharu yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi khususnya dalam pembangunan teknologi dan inovasi terkini dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun minyak, gas asli dan hidrokarbon pada hari ini masih lagi signifikan kepada pertumbuhan ekonomi utama, namun kemunculan data dan teknologi penyimpanannya semakin penting sebagai salah satu pemangkin pertumbuhan tersebut.
“Ia bukan lagi minyak mentah dan bukan juga hidrokarbon, sebaliknya ‘minyak’ baharu ialah data.
“Data inilah yang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi kita, namun data perlu disimpan dan di sinilah peranan Western Digital (WD), iaitu menyediakan penyelesaian penyimpanan bagi data penting tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran ‘New Horizons for Western Digital (WD) Sarawak, di Zon Perindustrian Bebas Samalaju, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kemampuan Sarawak kini yang mempunyai sumber sedia ada telah meletakkan negeri ini sebagai lokasi strategik pembangunan teknologi penyimpanan data, dengan kerjasama syarikat-syarikat serta pemain industri dalam bidang terbabit.
Ketika ditemui pemberita, beliau memberitahu Sarawak mempunyai kelebihan dari sudut minyak, tenaga dan air yang mana merupakan elemen penting dalam proses penyimpanan data.
“Kita telah diberi penghormatan untuk melancarkan fasiliti baharu yang akan mengeluarkan teknologi terkini iaitu ‘substrate glass’ dan ini adalah satu-satunya teknologi yang boleh menyimpan data dalam keadaan yang suhu yang tinggi.
“Saya dimaklumkan ini merupakan teknologi penyimpanan data terkini yang digunakan oleh dunia dan saya berterima kasih kerana mereka mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada Sarawak,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad & PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Operasi Global WD Vidyadhara Gubbi, Naib Presiden Kanan Operasi Global WD Dr Chandramogan Anamirtham serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS