Perjanjian WD-SEB Perkukuh Aspirasi Sarawak Sebagai Hab Industri Hijau Berteraskan Tenaga Boleh Diperbaharui
KUCHING: Pertukaran Perjanjian Tenaga Boleh Diperbaharui antara Western Digital (WD) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) menjadi manifestasi kerjasama strategik antara kerajaan dan industri dalam memperkukuh agenda pembangunan hijau serta merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan industri mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja menyokong perjalanan kelestarian WD, malah membuktikan potensi yang mampu dicapai apabila kerajaan dan pemain industri bergerak seiring ke arah matlamat bersama.
Menurut beliau, pencapaian WD mengendalikan operasinya menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui mencerminkan komitmen tinggi syarikat itu terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab serta amalan perniagaan yang mampan.
“Kolaborasi ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian WD, malah memperkukuh aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan industri hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran ‘New Horizons for Western Digital (WD) Sarawak, di Zon Perindustrian Bebas Samalaju, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa visi Sarawak ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih bukan bermaksud memperlahankan pembangunan, sebaliknya mengubah pendekatan pertumbuhan menerusi penggunaan tenaga yang lebih bersih, industri yang lebih cekap, inovasi, teknologi termaju serta pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab.
Katanya, komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaburan berterusan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, pengurusan karbon dan pembangunan industri mampan, di samping mengekalkan kedudukan negeri sebagai wilayah berstatus pelepasan karbon negatif bersih. -EDISI UKAS