Pemberian Geran Khas: Sarawak Serahkan Kepada Kerajaan Persekutuan, Faham Kekangan Fiskal Negara
UCHING: Sarawak menyerahkan kepada kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan formula pemberian Geran Khas kepada negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak memahami kekangan fiskal yang mungkin dihadapi kerajaan dan tidak mahu membebankan kedudukan kewangan negara.
“Ianya terpulang kepada keupayaan Kerajaan Persekutuan kerana kita juga bertimbang rasa dengan mereka, namun jika Kerajaan Persekutuan mempunyai kemampuan, mengapa tidak berkongsi hasil dengan Sarawak.
“Sekiranya keadaan kewangan tidak mengizinkan, kita juga memahami dan boleh bertolak ansur kerana kita tidak tamak.
“Jika tidak dapat memberikan geran, mungkin boleh dipertimbangkan bentuk bantuan lain seperti insentif cukai yang dapat merangsang pelaburan serta pembangunan industri baharu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘New Horizons for Western Digital (WD) Sarawak, di Zon Perindustrian Bebas Samalaju, di sini pada Khamis.
Meskipun belum ada perbincangan terperinci mengenainya, selain perkara itu pernah disentuh secara ringkas ketika pertemuan bersama Perdana Menteri di Bintulu baru-baru ini, Datuk Patinggi Abang Zohari menyambut baik hasrat pemberian Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif.
Mengulas mengenai insentif cukai, beliau mendedahkan bahawa beliau telah mengemukakan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan insentif kepada industri yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui, termasuk syarikat berteknologi tinggi bagi meningkatkan daya saing pelaburan hijau negara.
Menurut beliau, insentif turut wajar diberikan bagi mempercepat penggunaan teknologi hidrogen, termasuk mengurangkan cukai ke atas hidrogen dan kenderaan yang menggunakan bahan api tersebut.
“Namun, saya telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberikan insentif kepada industri baharu, termasuk yang melibatkan penggunaan hidrogen serta kenderaan berkuasa hidrogen.
“Sebagai contoh, syarikat seperti Western Digital yang menghasilkan produk berteknologi terkini menggunakan tenaga boleh diperbaharui wajar dipertimbangkan untuk menerima insentif tersebut.
“Langkah itu akan menjadi tarikan kepada industri dan pengguna untuk beralih kepada penggunaan tenaga baharu secara lebih meluas,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS