Penerima Dana Tahunan Diingat Urus Peruntukan Secara Telus, Patuhi Prosedur Kewangan
SIMUNJAN: Semua penerima Dana Tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau di kawasan Simunjan diingatkan supaya menguruskan peruntukan yang diterima secara telus serta mematuhi prosedur kewangan bagi memastikan setiap dana dibelanjakan dengan berhemah dan mengelakkan sebarang isu audit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata setiap organisasi perlu memastikan semua perbelanjaan direkodkan dengan lengkap, termasuk menyimpan resit dan menyediakan laporan pulangan perbelanjaan bagi memudahkan proses audit yang dijalankan dari semasa ke semasa.
“Kita harus sentiasa berjaga-jaga dalam pengurusan akaun. Pastikan setiap sen yang dikeluarkan mempunyai aktiviti dan bukti perbelanjaan yang sah.
"Jika dana tidak digunakan, baki tersebut mestilah kekal di dalam akaun organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Dana Tahunan kepada JKKK, masjid dan surau di Dewan Setia Simunjan, pada Khamis.
Dalam pada itu, Awla turut memohon maaf atas kelewatan penyaluran cek dana yang sepatutnya disampaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.
Menurutnya, kelewatan tersebut berpunca daripada proses semakan yang teliti oleh pihak kerajaan bagi memastikan setiap peruntukan disalurkan mengikut prosedur serta mengelakkan sebarang masalah berkaitan akauntabiliti.
Beliau berkata dana tahunan itu bertujuan membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi seperti program gotong-royong, aktiviti kebersihan kampung dan penganjuran hari sukan.
Tambah beliau, kakitangan Pusat Khidmat DUN N25 Simunjan sentiasa memantau proses agihan dana bagi memastikan penyalurannya berjalan lancar dan teratur.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM380,000 diperuntukkan kepada 57 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sembilan masjid dan 10 surau di kawasan Simunjan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta pembangunan di peringkat akar umbi.
Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, wakil Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mokhtar Ramli, Pemanca Liew Wee Tchiun, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan, Rosita Poni, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan, Jamil Semoni serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) kawasan Simunjan.-EDISI UKAS