Lima Ketua Kaum Simunjan Terima Watikah Pelantikan Semula
SIMUNJAN: Lima ketua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima watikah pelantikan semula sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan khidmat bakti mereka dalam membantu kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang menyampaikan watikah pelantikan semula dalam satu majlis di Dewan Setia Simunjan pada Khamis berkata, pelantikan semula itu merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi para ketua kaum yang selama ini memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, semua ketua kaum yang dilantik semula diharap dapat terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta membantu memastikan penyampaian dasar dan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.
Pelantikan semula itu melibatkan Dara @ Khartina Tamat bagi Kampung Hijrah Fasa II dan III, Engkujat Atai bagi Kampung Emplas Asal, Joseph Hipong bagi Kampung Temiang A, Zamahari Razali bagi Kampung Pantong Melayu dan Hamli Moslemen bagi Kampung Sageng Hilir.
Majlis penyerahan watikah tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad dan diadakan bersempena Majlis Penyerahan Cek Dana Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid serta surau.
Turut hadir wakil Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mokhtar Ramli, Pemanca Liew Wee Tchiun, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan, Rosita Poni, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan, Jamil Semoni serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) kawasan Simunjan.-EDISI UKAS