Institusi Keluarga, Sekolah Perlu Berganding Bahu Tangani Gejala Dadah
MUKAH: Institusi keluarga dan sekolah perlu terus berganding bahu dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah sejak peringkat awal menerusi pendekatan pendidikan, pembentukan sahsiah serta pengukuhan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat bagi melahirkan generasi yang berdaya tahan serta bebas daripada gejala tersebut.
"Usaha memerangi penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada semua lapisan masyarakat.
“Pendidikan pencegahan dadah juga perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berintegriti, berdisiplin serta mampu menjadi pemimpin masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak, pada Selasa.
Program selama dua hari bermula 29 hingga 30 Jun itu menghimpunkan seramai 100 murid Tahap Dua daripada sembilan buah sekolah di Bahagian Mukah.
Kem tersebut merupakan anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah dengan kerjasama Skuad Antidadah Negeri Sarawak, Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Ajakcut serta Pejabat Pendidikan Daerah Mukah.
Royston berkata, penganjuran Kem Pintar 2.0 bertujuan memupuk kesedaran awal dalam kalangan murid mengenai bahaya penyalahgunaan dadah di samping membentuk sahsiah, disiplin, jati diri dan semangat kepimpinan menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, pembangunan diri serta kerja berpasukan.
Katanya, Program Permata Keluarga pula memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam membentuk anak-anak yang berakhlak mulia serta bebas daripada pengaruh gejala sosial.
"Saya berharap kem dan program ini mampu memberi impak positif kepada para peserta dalam melahirkan generasi yang sihat, cemerlang dan bebas daripada dadah demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan Sarawak," ujar beliau. -EDISI UKAS