Datuk Dr Abdul Rahman Tinjau Keperluan Naik Taraf Klinik Kesihatan Kampung Bintawa
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Bintawa bagi meninjau keadaan semasa serta keperluan menaik taraf fasiliti kesihatan berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran secara langsung mengenai keadaan fizikal bangunan, kemudahan sedia ada serta keperluan penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terus memenuhi keperluan penduduk setempat.
Sepanjang lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat oleh pihak pengurusan klinik mengenai operasi harian, kapasiti perkhidmatan, kemudahan sedia ada serta beberapa isu yang memerlukan perhatian bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan warga kerja.
Selain meninjau ruang rawatan dan kemudahan klinik, lawatan tersebut menjadi platform mengenal pasti keperluan penyelenggaraan serta cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan bagi memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, penyediaan kemudahan kesihatan yang selesa, selamat dan kondusif merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memastikan rakyat terus menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menaik taraf dan membina semula klinik-klinik yang telah uzur akan terus diberi perhatian selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak memperkukuh infrastruktur kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Johnny Pangkas. -EDISI UKAS