SUHAKAM Perkukuh Kerjasama Dengan Sarawak Perkasa Hak Asasi Manusia
KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperkukuhkan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh perlindungan hak asasi manusia, khususnya melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Pengerusinya, Dato Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata, perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat SUHAKAM kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Khamis.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan termasuk hak kanak-kanak, penyalahgunaan bahan terlarang, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta kebajikan warga emas.
"Dalam pertemuan ini juga, kami membincangkan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang berkaitan dengan kanak-kanak, seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child) serta Akta Kanak-Kanak," katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah memberitahu, SUHAKAM turut mengemukakan beberapa cadangan program termasuk mewujudkan program perlindungan dan keselamatan kanak-kanak bersama Kerajaan Sarawak.
Selain itu katanya, pihaknya mencadangkan pelaksanaan program pembangunan kapasiti kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen, sektor kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan bagi meningkatkan keupayaan mengendalikan isu melibatkan kanak-kanak.
Tambahnya, perbincangan turut menyentuh mengenai hak golongan warga emas memandangkan Sarawak dijangka menjadi negeri berstatus masyarakat menua menjelang tahun 2028 di mana perhatian perlu diberikan terhadap hak serta tanggungjawab golongan tersebut.
"Kesemua perkara ini telah dibincangkan sebagai antara cadangan program bersama yang akan dilaksanakan bukan sahaja dengan Kerajaan Sarawak, malah dengan agensi-agensi kerajaan negeri melalui sokongan Kerajaan Sarawak," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini