Persiapan Akhir Perasmian Jambatan Batang Lupar Berjalan Lancar
SEBUYAU: Persiapan menjelang Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar yang dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 9 Julai ini berjalan lancar menerusi lawatan tapak yang diketuai Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan lokasi majlis serta menyelaras persiapan akhir bersama semua agensi dan jawatankuasa yang terlibat bagi memastikan kelancaran perjalanan program.
Sepanjang lawatan, Mohamad Irwan bersama wakil pelbagai agensi meneliti pelbagai aspek persiapan termasuk susun atur pentas utama, laluan ketibaan tetamu kenamaan, kawalan keselamatan, pengurusan lalu lintas, kawasan parkir, kemudahan awam serta keperluan teknikal.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan yang rapi antara semua pihak bagi memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap terbaik, sekali gus menjamin kelancaran majlis perasmian.
Lawatan berakhir pada jam 12.30 tengah hari selepas semua lokasi utama selesai diperiksa dan penyelarasan akhir dilaksanakan sebagai persediaan menjelang majlis perasmian Jambatan Batang Lupar pada 9 Julai ini. -EDISI UKAS