23rd Sarawak Premier's Cup Himpunkan Pemain Golf Junior Dari 10 Negara
KUCHING: Kejohanan 23rd Sarawak Premier Cup – International Junior Golf Championship bakal menghimpunkan kira-kira 100 pemain golf junior amatur dari 10 negara di Eastwood Valley Golf Course, Miri bermula 13 hingga 17 Julai.
Majlis Penyerahan Trofi kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi kejohanan tersebut berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, pada Khamis.
Mengetuai delegasi, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah diiringi bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Pengerusi Persatuan Golf Sarawak Hoan Kee Hock.
Dalam sidang media, Datuk Gerald memberitahu, kejohanan berprestij itu akan disertai pemain golf junior amatur terbaik dari Indonesia, China, Bangladesh, Thailand, Myanmar, Vietnam, Sri Lanka, Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura.
"Kejohanan ini akan disertai oleh 10 buah negara dengan penyertaan kira-kira 100 orang pemain dengan kesemua peserta merupakan pemain golf junior amatur dan bukannya pemain golf junior profesional," jelasnya.
Sementara itu, Hoan Kee Hock berkata, kejohanan itu mempertandingkan empat kategori mengikut peringkat umur bermula seawal lapan tahun hingga 16 tahun, dengan penyertaan hanya melibatkan pemain terbaik yang dipilih oleh setiap negara.
Katanya, kejohanan tersebut turut diiktiraf di bawah Sistem Ranking Golf Junior Dunia, sekali gus membolehkan peserta mengumpul mata ranking yang penting bagi meningkatkan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, mata yang diperoleh akan membantu meningkatkan ranking pemain yang menyertai sekali gus melayakkan mereka menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa.
"Ini kerana terdapat kejohanan yang hanya menjemput pemain dalam kelompok 100 atau 300 terbaik dunia, justeru mata ranking yang diperoleh amat penting sebagai syarat kelayakan," katanya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini